Abstrak

Pendidikan Inklusif ialah penyertaan MBK belajar bersama murid-murid normal di aliran perdana yang diajar oleh guru perdana. Persekitaran sosial bilik darjah pula adalah kumpulan individu yang membangunkan hubungan dan berkongsi beberapa elemen dalam kalangan semua ahli. Kajian ini bertujuan untuk menentukan tahap persekitaran sosial bilik darjah dari perspektif MBK BP dalam Pendidikan Inklusif sekolah menengah di negeri Sabah. Kajian ini menggunakan instrumen kajian yang diadaptasi dari “What is Happening in this Class” (WIHIC) untuk mengukur persekitaran sosial bilik darjah yang terdiri daripada dua aspek iaitu hubungan guru-murid dan interaksi rakan sekelas. Instrumen ini telah ditadbir kepada 108 responden dari 14 sekolah menengah di negeri Sabah. Data dianalisis menggunakan IBM SPSS Statistics 20. Dapatan kajian mendapati bahawa hubungan guru-murid di tahap sederhana dengan min skor 3.881 (s.p. 0.458). Interaksi rakan sekelas di tahap sederhana dengan min skor 3.801 (s.p. 0.505). Persekitaran sosial bilik darjah (gabungan dua aspek tersebut) di tahap sederhana dengan min skor 3.961 (s.p. 0.496). Dapatan kajian ini penting untuk digunakan dalam usaha penambahbaikan inisiatif dan program peningkatan kualiti persekitaran pembelajaran bilik darjah serta sekaligus meningkatkan bilangan MBK BP menyertai Pendidikan Inklusif.

Kata kunci: Pendidikan Inklusif, persekitaran sosial bilik darjah

  • About the Author: Patricia Mongudal, Ronald Yusri Batahong & Connie Cassy Ompok