ABSTRAK

Kajian tindakan ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran melabel struktur gigi menggunakan inovasi AR-LaGi yang merupakan sebuah kaedah Augmented Reality (AR). Kajian ini dijalankan di sebuah sekolah kebangsaan (SK) yang terletak di daerah Tuaran, Sabah. Peserta kajian terdiri daripada tujuh orang murid Tahun 3 iaitu lima orang murid lelaki dan dua orang murid perempuan. Model Penyelidikan Kurt Lewin (1946) telah diadaptasi dalam kajian ini. Saya telah menggunakan empat instrumen bagi mengumpul data kajian iaitu ujian (pra dan pos), temu bual, pemerhatian, dan analisis dokumen awal. Intervensi telah dijalankan dengan menggunakan aplikasi Assemblr Edu bagi meningkatkan kemahiran melabel keratan struktur gigi dengan betul. Hasil dapatan kajian menunjukkan peningkatan purata markah kemahiran melabel struktur gigi dengan betul sebanyak 94 peratus selepas menggunakan AR. Dapatan pemerhatian dan temu bual turut menunjukkan murid telah dapat menguasai kemahiran melabel struktur gigi dan berminat dalam menggunakan AR-LaGi pada masa akan datang. Justeru, AR-LaGi berjaya membantu murid dalam meningkatkan penguasaan kemahiran melabel keratan rentas struktur gigi dengan betul.

 Kata Kunci: Augmented Reality, Struktur Gigi, Assemblr Edu

  • About the Author: Mack Lee dan Chiam Sun May